Panduan Hidup Berpasangan !



BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM :)


Allah menjadikan setiap sesuatu di dunia ni berpasang-pasangan supaya ia saling melengkapi antara satu sama lain. Kehidupan tidak akan seimbang jika tiada pasangan, contohnya kejadian atom, ia tidak akan stabil jika cas negatif tidak disertakan dengan cas positif. Ia saling memerlukan untuk menstabilkannya.

Begitu juga dengan kita sebagai manusia, Allah hadirkan kita di dunia dengan pasangan masing-masing, supaya kita mampu menjadi khalifah di bumi Allah ini. Kehidupan berpasangan mampu membuahkan ketenangan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ia membuatkan kita lebih bersemangat untuk bekerja dan beramal ibadah kepada Allah. Pasangan yang baik dan dipilih berdasarkan syariat Allah pasti akan membantu kita untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari. 


Namun begitu, kehidupan berpasangan tidak selalunya indah, adakalanya Allah menguji kita dengan pelbagai  perkara supaya kita bersyukur dengan anugerah Allah. Ujian-ujian tersebut adalah untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya kerana Allah menyayangi semua ciptaanNya. 

Dalam hidup berpasangan, masing-masing perlu bekerjasama untuk menjadikan rumahtangga sentiasa aman dan tenteram. Sebagai manusia yang diciptakan Allah, kita tidak mampu untuk mengelakkan pergolakan rumahtangga dan perselisihan faham. Walau bagaimanapun, kita masih diberi peluang untuk mencuba menjadikan rumahtangga kita semakin hari semakin bermakna, dan kasih sayang antara kita semakin utuh. Ini merupakan tips dalam hidup berpasangan. 

Mempraktikkan Ajaran Agama

    Untuk menjadi pasangan yang baik, pegangan agama penting. Jalankan kehidupan seharian mengikut garis yang telah ditetapkan oleh Pencipta kita dan contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Rasul kita, pasti kehidupan lebih bahagia dan harmoni. Setiap apa yang telah digariskan merupakan cara hidup yang terbaik, insyaAllah. Contohnya setiap hari mengamalkan solat berjemaah bersama pasangan, makan bersama, mandi bersama, dan cuba melakukan kerja bersama-sama, pasti akan mengeratkan lagi keintiman hubungan. Setiap apa yang kita lakukan disertakan dengan doa yang baik. Doa merupakan senjata utama Muslim, dan petanda kebergantungan kita kepada Allah. Allah tidak akan mempersia-siakan doa orang yang memohoin kepadaNya. 

Saling Mempercayai

    Kita perlu mewujudkan rasa saling mempercayai. Kadang-kadang kita sukar untuk mempercayai pasangan kita, lebih-lebih lagi apabila kita pernah merasa sakitnya kecewa. Namun begitu, tidak salah untuk kita mempercayai pasangan kita andai ia mampu membuatkan kehidupan kita lebih sempurna.  Hapuskanlah segala prasangka dan keraguan terhadap pasangan. Wujudkanlah rasa percaya di setiap aspek. Untuk melahirkan rasa percaya, terlebih dahulu setiap pasangan perlu sentiasa bersikap jujur. Kejujuran penting dalam kehidupan kita. Jika kita sentiasa jujur, pasti pasangan kita akan mudah mempercayai.

Saling Memahami

    Setiap pasangan perlu memahami diri pasangan masing-masing. Apa yang tidak digemari, apa yang disukai.. Janganlah kita selalu desak dia melakukan apa yang dia tak suka, contohnya suami tidak suka pergi ke tempat-tempat yang sesak, jadi seboleh-bolehnya kita elakkan. Tetapi si suami perlu faham jugak, tanggungjawabnya sebagai suami, takkan nak membiarkan isteri membeli belah di tempat yang ramai orang seorang diri. Lagipun si isteri bukannya suka-suka, beli untuk keluarga jugak, untuk suami jugak. 

 Bertolak Ansur

    Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat elak berlakunya perselisihan. Kadang-kadang hal yang kecil pun akan menjadi masalah yang besar. Apalah salahnya kalau salah seorang beralah untuk menjernihkan situasi. Jangan terlalu mengikut emosi. Jangan disebabkan hal yang kecil kesannya sehingga bercerai berai. Apalah salahnya kalau kita mengambil inisiatif untuk beralah untuk mengelakkan perselisihan yang berpanjangan.

Kesetiaan

    Kesetiaan amat penting. Janganlah bersikap tidak cukup seorang. Bagaimanapun isteri/ suami kita.. kita perlu menerimanya kerana Allah telah ciptakan dia untuk kita jaga, kita bimbing. Jangan kerana kelemahan yang sedikit menjadi alasan untuk kita mencari pengganti. Adakah kita terlalu baik sehinggakan kita tidak layak untuk dia? Cuba bayangkan andai dia yang meninggalkan kita, adakah kita mampu melaluinya? Letak situasi diri andai ditinggalkan.

Saling Menerima

    Sekali kita dah berkahwin dengan seseorang, itu bermakna kita menerima segala kelemahan dan kekurangan diri masing-masing. Kekurangan kita, pasangan yang akan menyempurnakan. Masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain, kita diciptakan untuk saling melengkapi. Tiada manusia yang sempurna, Masing-masing mempunyai daya fikir, kerja dan daya tahan tersendiri. Jangan sesekali merendahkan pasangan kita, jangan selalu mention dan sentiasa menyebut kekurangan diri pasangan. Setiap manusia ada hati, kita tidak pernah diberi pilihan untuk lahir cantik seperti siti nurhaliza, ramping seperti Maya Karin. Terimalah ia seadanya. Kalau sentiasa mengungkit, sudah pasti dia sentiasa dalam keadaan stress dan rendah diri. Bagaimanakah dia mampu untuk melayani anda jika dalam keadaan seperti itu.

Saling Menghormati

    Hormat-menghormati adalah amat penting. Isteri perlu menghormati suami sebagai seorang suami, bukan sebagai kawan atau adik. Dan suami perlu menghormati isteri seperti isteri. Untuk mewujudkan perasaan perasaan saling menghormati, setiap pasangan perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jangan sesekali tinggalkan tanggungjawab tanpa bersebab. Ia faktor utama hilangnya perasaan hormat. Andai tiada hormat, wujudnya perasaan "memandang rendah" dan bahananya boleh membawa kepada perceraian. 

Komunikasi

    Komunikasi yang berkesan penting dalam sesebuah perhubungan. Komunikasi adalah satu usaha untuk seseorang itu dikenali dan difahami.  Sekiranya melalui komunikasi yang berkesan seorang itu dapat dikenali besar kemungkinan akan dihormati dan dikasihi. Komunikasi penting untuk  berkongsi dengan pasangan, berkongsi kegembiraan, kesedihan, dan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah. Jangan sesekali memendam perasaan. Cuba berbincang jika menghadapi sebarang masalah. Cuba wujudkan suasana yang ceria sewaktu berkomunikasi.  Sebenarnya banyak masalah rumah tangga berpunca dari komunikasi yang kurang berkesan, yang banyak menimbulkan salah faham dan ketegangan.  Proses berkomunikasi ini melibatkan perkongsian buah fikiran, pandangan dan perasaan dengan orang lain dengan jujur dan ikhlas.


---------------------------------------------------------------------------------------